Halaman

05 July 2013

MASJID TERAPUNG DI PULAU PERHENTIAN HADIAH ALLAHYARHAM BUAT PENDUDUK

Laporan: Ruslan Rahman, khas dari Pulau Perhentian


Allahyarham Dr.A Rahman Mokhtar melihat betapa perlunya sebuah masjid yang kukuh dan sempurna lagi indah dibina di kampung kela hirannya Pulau Perhentian, sebuah pulau peranginan yang terkenal.   Cadangannya yang dikemukakan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said mendapat persetujuan, lantas pembinaannya bermula sejak tahun 2011 yang lalu di tepi laut Perhentian Kecil, kawasan yang padat dengan penduduk.
 Bagi menjimatkan kawasan tanah, sebahagian masjid itu dibina di dalam laut di tepi pulau itu menjadikan ia bagaikan masjid terapung menambahkan lagi keunikannya.
 Masjid yang bernilai RM13.5 juta memberi makna yang besar kerana sebagai sebuah pulau peranginan ia juga perlu dilengkapi dengan kemudahan beribadat yang selesa selaras dengan hasrat tidak memisahkan pelancongan dengan keperluan beribadat untuk penduduk dan pengunjung yang beragama Islam.
 Masjid ini dilengkapi dengan dewan dan juga beberapa buah kedai di pinggir laut yang jernih itu sesuai dengan hasrat menjadikan rumah Allah itu tumpuan komuniti.
 Namun tidak siapa yang tahu, ia adalah peninggalan yang menjadi kenangan berharga buat penduduk pulau itu terhadap Allahyarham Dr A Rahman.
 Beberapa orang penduduk memberitahu, Allahyarham sempat bersama mereka beberapa hari sebelum pergi buat selamanya ketika penduduk mengadakan jamuan kesyukuran sempena kemenangan BN di PDM Pulau Perhentian dan Dun Kuala Besut.
 Waktu itu katanya, Allahyarham tidak banyak bercakap dan suara agak tidak berapa jelas, walau bagaimanapun masih tetap menjamah nasi dan gulai yang penduduk sediakan.
  Allahyarham adalah anak jati Kampung Pulau Perhentian dan satu satunya anak pulau itu yang berjaya hingga menjadi seorang doktor. Sesungguhnya sebuah masjid yang menjadi hadiah kepada penduduk kampungnya itu mengiringi pemergian Allahyarham, semoga rohnya mendapat rahmat dan perlindungan dari Illahi.