Halaman

04 July 2013

Sukma : Acara mendayung jadi lubuk emas Terengganu

Acara mendayung terus menuai emas buat atlet Terengganu pada Sukma ke-16.
Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mengukuhkan penguasaan apabila menjadikan acara mendayung sebagai  lubuk emas selepas kejayaan membolot lima emas pada hari terakhir acara itu, di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, semalam.

'Terengganu Hanelang' muncul juara keseluruhan acara yang berlangsung di Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor dengan pungutan lapan emas dan satu perak.


Pertaruhan Nur Fatiha Che Yon Rosni dalam acara perseorangan wanita scull (W1X) dan double scull (LW2X) oleh gandingan Nor Shazlin Che Adnan dengan Che Ku Nurul Asma' Che Ku Abdullah berjaya menghadiahkan emas untuk Terengganu.

Tiga lagi dayungan emas negeri Pantai Timur itu disumbangkan dalam kategori berempat lightweight wanita
( LW4-), acara berpasangan wanita (W2) dan pasukan lelaki coxed eight.

Ketua jurulatihnya, Encik Mohd Shahrol Mat Saad, 31, berkata kegigihan atlet yang berlatih sejak Disember lalu lagi menjadi penyumbang utama pencapaian cemerlang anak didiknya pada temasya kali ini.

Katanya, kejayaan yang dirangkul turut membuktikan bahawa negeri Pantai Timur itu masih unggul selaku kuasa besar sukan mendayung walaupun muncul beberapa pesaing baharu seperti Johor dan Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, rekod Terengganu tahun ini mengatasi catatan pingat keseluruhan yang diraih mereka pada edisi 2011 di Kuala Lumpur dengan kutipan lima emas, satu perak dan dua gangsa.

Dayungan emas Terengganu itu turut membolehkan juara bertahan Sukma itu unggul menerajui carta kedudukan pingat dengan pungutan 16 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa.

Wilayah Persekutuan yang menerajui kedudukan pingat sehingga Isnin lalu, sebelum dipintas Terengganu, sehari kemudian kekal berada di tangga kedua dengan pungutan 11 emas, sembilan perak dan 16 gangsa. 

Selain itu, sejumlah 35 pingat keseluruhan ditawarkan hari ini menerusi acara renang berirama berpasukan, polo air lelaki, bola sepak pantai (lelaki dan wanita), kabbadi (lelaki dan wanita) serta Silambam (Thanithiramai Khas Lelaki dan Wanita).