Halaman

01 July 2013

Burung bugdie beri pulangan lumayan

Oleh; Esah Abdullah 

Banyak perkara yang boleh mengisi masa lapang sekali gus membawa pulangan lumayan asalkan ia diusaha secara bersungguh seperti apa yang dilakukan oleh seorang penjawat awam Encik Wan Ahmad Azuan Wan Sulaiman, 46.

Beliau yang memang meminati burung itu kini memiliki 80 ekor burung bugdie dan cockatiel yang dipelihanya sejak 2007.

“Sebelum ini saya memelihara dan menjual burung merpati, tetapi apabila melihat pasaran burung itu agak merundum menyebabkan saya beralih kepada burung bugdie dan cockatiel,” katanya ketika ditemui dalam Program Terengganu Pets Day di Perkarangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) baru-baru ini. .

Katanya, selain dijadikan sebagai hobi mengisi masa lapang dan menenangkan fikiran selepas penat bekerja, ia juga sebagai sumber pendapatan sampingan sejak 2004.

Menurutnya, memelihara burung tidak memerlukan penjagaan rapi sehingga perlu memandikannya setiap hari, cukup sekadar menyemburkan sedikit air sahaja dan burung-burung ini juga tidak memerlukan ruang yang banyak hanya perlu menyediakan sangkar yang bersesuaian sahaja.

Katanya, perniagaan yang dijalankan secara atas talian bermula pada 2010 kini juga telah mempunyai pelanggan tetap serta mampu menjana pendapatan RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Presiden Persatuan Pemilik Budgie dan Cockatiel Terengganu itu berkata, burung-burung tersebut sebelum ini adalah burung import kemudian dibiakkan sendiri untuk kos yang lebih minimum dan seekor burung tersebut dijual bermula RM200 hingga ke atas.