Halaman

30 June 2013

Gabung acara menarik, tarik ramai pelancong

Oleh: Noraini Jusoh

Acara menarik di Terengganu seperti pertandingan Bot On The Road  (BOTR), aktiviti mencandat sotong serta pesta Main Pantai boleh digabungkan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato' Haji Mohd Jidin Shafee berkata, sebagai contoh pergabungan aktiviti tersebut boleh dilakukan sempena program ‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ yang dianjurkan setiap tahun oleh Telekom Malaysia (TM).

"Pada tahun hadapan, TM diharap dapat menghantar wakil untuk menyertai pertandingan BOTR kerana apa yang saya lihat, pada pertandingan ‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ yang memuatkan aktiviti memancing, ramai kakitangan TM yang handal memancing.

"Justeru, tidak menjadi masalah kepada mereka untuk turut serta dalam program BOTR pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Program Telekom Malaysia Treasure Hunt di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, sama juga dengan pesta Main Pantai di mana terdapat bangsal yang dibuat daripada kayu dan daun kelapa yang tidak pernah dilihat oleh orang luar perlu di beri perhatian.

"Saya berharap tahun hadapan warga TM dan orang luar yang lain dapat sama-sama menghayati keunikan yang terdapat di negeri ini.

"Mungkin kita boleh menjemput mereka samada dari dalam dan luar negeri untuk menyertai pesta Main Pantai dengan disertakan aktiviti lain seperti mencandat sotong dan sebagainya sambil dijamu dengan kuih tradisional Terengganu yang tidak pernah mereka rasai,’ ujarnya.

Katanya, tujuan cadangan pergabungan acara-acara tersebut adalah untuk memperkenalkan Terengganu sebagai tempat percutian atau pelancongan pilihan.

"Disamping itu, ia juga dapat memperkenalkan barangan dan usahawan Terengganu sekali gus dapat membantu ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.

Katanya, dalam merealisasikan hasrat tersebut, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu antaranya ternasuk dari segi kemudahan infrastruktur dan prasarana.