Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan membuka kampus di negara China dan di Kuala Lumpur dengan sasaran pelajar dari luar negara.
Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti tersebut berkolaborasi dengan konsotium universiti-universiti China dengan mewujudkan kampus di negara tersebut.
“Kita jangka pengambilan sesi pertama membabitkan pelajar 500 pelajar akan bermula September ini,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Ucap Tama Tahunan Naib Canselor dan Penganugerahan Kecemerlangan UniSZA 2013 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man semalam.
Menurutnya, pendekatan ini adalah bagi menampung keperluan pelajar-pelajar antarabangsa yang (berminat) ingin melanjutkan pelajaran mereka di UniSZA tetapi kurang berminat untuk datang ke Terengganu.
Sehingga ini katanya, universiti tersebut telah pun mendapat perhatian para pelajar luar negara terutama dari negara China, Timur Tengah dan juga Indonesia.
Menurut Prof Dr Yahaya, tempat dan bangunan untuk dua-dua kampus telah dikenalpasti dan kini dalam proses rundingan, sekiranya berjalan lancar, pengambilan pelajar sesi pertama akan dilaksanakan mengikut jadual iaitu September depan.
“UniSZA akan menyediakan kursus yang mendapat permintaan dan turut menawarkan tempat pengajian dengan pelajar Muslim di China bagi penempatan kampus di negara berkenaan di samping kursus sedia ada yang ditawarkan di Unisza.,” katanya.
Dalam perkembangan lain Prof Dr Yahaya berkata, perpindahan pelajar ke kampus Tembila, Besut telah bermula pada 1 Julai lalu dengan melibatkan dua fakulti iaitu Fakulti Informatik dan Komputeran dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan.
“Seramai 900 pelajar lama dan baru telah mula berpindah ke Tembila dan semua kemudahan serta kelengkapan asrama telah siap sepenuhnya kecuali makmal masih belum lengkap dan ia akan diselesaikan tahun ini juga,” katanya.