Halaman

05 July 2013

Terengganu sokong Perlis haram shisha

Oleh: Suriati Ali

Jawatankuasa Fatwa Terengganu menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

 Mufti Terengganu, Dr. Zulkifly Muda berkata, bagaimanapun ketika ini, pihaknya tidak bercadang untuk mengeluarkan satu fatwa khusus berkenaan pengharaman shisha memandangkan negeri ini telah mengeluarkan fatwa berhubung hukum merokok adalah haram.

 "Sekitar tahun 1970-an, Mufti Terengganu ketika itu, Syed Yusof Ali Az-Zawawi telah mengeluarkan fatwa bernombor 257 yang mana menyatakan hukum merokok haram jika mendatangkan kemudaratan manakala pada tahun 1975 pula Terengganu juga telah mengguna pakai fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan perkara sama.

"Jadi, tidak perlulah Terengganu mengeluarkan satu fatwa yang khusus berkaitan shisha memandangkan apa yang penting adalah shisha itu sendiri berunsurkan sesuatu yang boleh memudaratkan kepada umat Islam jadi hukumnya adalah haram apatah lagi kemudaratannya lebih teruk daripada merokok," katanya .

 Baru-baru ini, Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya mengumumkan Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Pengumuman fatwa itu kemudian turut mendapat perhatian apabila kerajaan negeri Perak menimbang kemungkinan untuk mengikuti jejak negeri itu dan Melaka yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga memaklumkan akan membuat keputusan berkenaan isu tersebut selepas kajian secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan dijalankan yang kini dalam peringkat akhir manakala Jawatankuasa Fatwa Kelantan masih di peringkat mengkaji status shisha.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sebelum memutuskan sebarang fatwa, kajian terperinci harus dijalankan dan beliau yakin Jawatankuasa Fatwa Perlis telah memutuskan fatwa itu setelah menilai keterangan pakar.

"Kita menyokong keputusan fatwa itu dengan bersyarat iaitu perkara yang diharamkan itu beri kemudaratan kepada pengguna dan ia jelas terangkum dalam unsur yang sama dengan rokok, jadi, kita boleh guna pakai fatwa yang sama dan jelas shisha adalah haram,"katanya.