Pertima Terengganu Sdn Bhd (Pertima) akan mengeluarkan 10,000 tin kuah sate dalam tin sebagai memenuhi permintaan orang ramai menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Eksekutif Pamasarannya, Encik Azrul Alias berkata, produk kuah sate dalam tin tersebut telah mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat permintaan setiap kali menjelang bulan Ramadan.
“Permintaan terhadap kuah sate bertambah setiap kali menjelang Ramadan dan seterusnya untuk persediaan Aidilfitri oleh itu jumlah pengeluaran akan bertambah sekali ganda bagi memenuhi permintaan,” katanya.
Menurutnya, produk berkenaan boleh didapati di semua pasar raya di negeri ini dan juga di luar Terengganu dan jika ingin mendapatkan bekalan yang banyak boleh datang terus ke kilang di Kawasan Perindustrian Chendering.
Katanya, proses penyediaan kuah sate ini sangat mudah iaitu hanya panaskan sahaja kuah tersebut sebelum dihidangkan dan rasanya sudah tentu enak sepertimana rasa kuah sate yang baru dimasak.
Menurutnya, Pertima adalah peneraju pengeluar makanan dalam tin di Terengganu sejak ditubuhkan pada 1972 dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti ikan dalam kuah tomato (sardin) dalam pelbagai saiz, kari ayam, sambal bilis, seri kaya.
“Kami juga bakal mengeluarkan dua lagi produk baru, iaitu Sapuan Sardin dan juga sambal nasi lemak. Ia sedang dalam proses untuk dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.