Halaman

03 July 2013

Ras Adiba teruja kekal Ikon OKU LAJSM 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Personaliti televisyen terkenal, Cik Ras Adiba Mohd Radzi terharu dan teruja dengan pengiktirafan Kerajaan Terengganu yang mengekalkannya sebagai Ikon Orang Kurang Upaya (OKU) buat tahun kedua bagi mengetuai golongan istimewa ke Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2013, pada 28 September ini.

CIK RAS ADIBA MOHD RADZI
“Saya berbesar hati kerana dipilih sekali lagi sebagai Ikon OKU sempena larian ini, mewakili rakan-rakan saya dalam komuniti dan berharap pada tahun ini, larian ini akan memperlihatkan lebih ramai penyertaan atlet dan juga bukan atlet di kalangan warga OKU.

 “Tahun lalu, seramai 167 orang atlet (OKU) yang bertanding, pada tahun ini kami mensasarkan 200 orang yang bertanding, bagaimanapun  kalau lebih ramai lebih bagus,” katanya Penasihat Persatuan OKU Perwira K9 Malaysia itu kepada Teganukita selepas sidang media sempena kejohanan berkenaan, di Hotel Meridien, Kuala Lumpur, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali.

Cik Ras yang juga pembaca berita NTV7 berkata, pemilihan beliau mewakili penglibatan komuniti OKU ke dalam program peringkat antarabangsa seumpama itu satu penghargaan cukup tinggi yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri lain, kecuali Terengganu.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya merasakan penganjur LAJSM adalah yang terbaik dalam menjaga komuniti OKU, malah layanan sama rata yang diberikan membuatkan peserta OKU teruja untuk terus menyertai larian antarabangsa itu tahun ini.

 “Terus-terang saya katakan yang larian tahun lalu adalah yang pertama buat kami semua, yang mana begitu ramai respon dari atlet dan bukan atlet dari warga OKU. Dengan adanya ketagori untuk warga istimewa ini lebih ramai rakan OKU akan keluar menjalankan aktiviti riadah dan sosial bersama.

 “Jadi secara tidak langsung bukan sahaja memberi peluang untuk kita keluar beriadah, malah kami juga merasa sama rata dengan masyarakat yang lain,” katanya.

Beliau juga mencadangkan jika penyertaan atlet kategori OKU dibuka kepada peserta luar negara, kategori berkenaan perlu dipecahkan kepada wanita dan lelaki kerana atlet antarabangsa lazimnya sudah berpengalaman di peringkat dunia dan sukar disaingi warga OKU tempatan.

Untuk rekod, LAJSM 2013 yang menawarkan hadiah melebihi RM200,000 termasuk hadiah utama RM24,000 akan mempertandingkan 19 kategori berbanding 14 kategori tahun lalu.

Kategori baru untuk peserta antarabangsa termasuk terbuka antarabangsa lelaki dan wanita (jarak 42 kilometer (km), kategori OKU (kerusi roda terbuka) (7 km) dan kategori Family Run (3 km).

Kejohanan anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Terengganu kini sudahpun menerima lebih 50 penyertaan dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand, England, Singapura dan Filipina.

Penganjur mensasarkan 8,000 peserta akan menyertai kejohanan yang akan bermula di Taman Awam Batu Buruk, jam 7 pagi dan berakhir di lokasi yang sama.

Tarikh tutup penyertaan pada 28 Ogos ini, di mana sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi : 

Sekretariat Larian Jambatan Sultan Mahmud,
Majlis Sukan Negeri Terengganu Jalan lapangan Terbang, 
21300 Kuala Terengganu 
Talian : 09-6672577/ 6672578 samb 131 014-6064494 / 014-6084494 

Laman web www.marathon.terengganu.my