Halaman

05 July 2013

Tesdec rangka pelan strategik jangka panjang 2010-2015

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur  (Pelatih)

 Pusat Perkembangan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) merangka pelan strategik jangka panjang bermula 2010 hingga 2015 sebagai hala tuju institusi kemahiran itu selaras dengan keperluan negeri dan negara amnya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata pelan strategik tersebut itu menggariskan enam matlamat utama yang menjadi fokus kepada semua warga Tesdec bagi memastikan institusi tersebut terus berkembang dan mampu bersaing di pentas tempatan serta global.

“Tesdec telah menubuhkan Kolej Tesdec bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir dan teknologis berkelulusan diploma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Marine Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

YB Mohd Mahdi berkata, setakat ini satu program peringkat sijil dan diploma telah dijalankan di kolej ini iaitu Program Sijil dan Diploma Kejuruteraan Teknologi (Penyelenggaraan Automotif) DET dengan kerjasama UniKL.

Selain itu, beliau berkata Tesdec turut merangka strategi jangka pendek bagi tempoh setahun berdasarkan jangkaan peningkatan pelaburan asing dan domestik tiga sektor utama negeri terutama bioteknologi, minyak dan gas serta perkilangan.

Berasaskan perkara itu, pihaknya merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi melahirkan tenaga kerja terlatih selaras dengan perkembangan ekonomi negeri.

 “Bagi program kemahiran kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan pekerja, Tesdec akan memberi tumpuan terhadap tenaga kera di bidang minyak dan gas,” katanya.