Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 4,694 penduduk di Dewan Undangan Negeri Bukit Payong terus mendapat pembelaan apabila menerima `duit raya’ berjumlah RM1.4 juta yang diagihkan sejak awal bulan ini menerusi empat fasa.Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu melibatkan 4,320 penerima dengan peruntukan hampir RM1.3 juta.
Pegawai Penyelaras DUN, Encik Zaidi Muda ,berkata proses pengagihan berjalan lancar dan semua penerima Dana Hari Raya kemungkinan sudah pun berbelanja bagi kegunaan dan persiapan Syawal nanti.
Katanya, peruntukan dana yang semakin bertambah itu membuktikan kerajaan negeri terus memastikan rakyat yang tidak bernasib baik, ibu tunggal dan warga emas yang kurang berkemampuan terbela.
“Kerajaan yang ada pada hari ini tetap mengutamakan kebajikan rakyat. Bagaimanapun, ada segelintir rakyat gagal menterjemahkan sokongan mereka terhadap jasa dan dasar kerajaan yang sentiasa membela nasib mereka itu dengan memberi sokongan kepada parti lawan sehingga DUN berkenaan jatuh ke tangan pembangkang.
“Sokongan daripada rakyat bagi memastikan DUN ini kembali kepada Barisan Nasional (BN) amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan, dasar dan pembangunan untuk rakyat keseluruhannya mampu direalisasikan tanpa ada kekangan pentadbiran dari setiap penjuru,” katanya.
Encik Zaidi berkata, bukan hanya dana raya, kerajaan turut menyediakan pelbagai dana serta peruntukan khas yang lain untuk kegunaan ketua keluarga, isi rumah dan anak-anak khususnya bagi kemudahan pendidikan mereka.