Halaman

25 August 2012

Kampung Gong Gucil dihias Jalur Gemilang


Oleh: Mohammad Ishak 

Semangat patriotik yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Gong Gucil dekat Jertih, yang menghiskan kampung mereka dengan pelbagai bentuk replika dan jalur gemilang sempena sambutan Kemerdekaan Ke 55 patut dipuji.

Ini kerana kampung terbabit kini dipenuhi dengan warna putih merah dan pelbagai replika yang dibina khas oleh penduduk sebagai persediaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gong Gucil,Zahari Mat Din berkata,usaha menghiaskan kampung itu dengan aneka replika dan landskap dilakukan secara gotong royong oleh penduduk.

Katanya, tanpa mengira ganjaran penduduk pelbagai peringkat termasuk golongan wanita dan usia emas serta belia berganding tenaga untuk menghiaskan jalur gemilang sekitar perkampungan tradisional itu.

Antara replika yang dibina termasuk menara berkembar, perahu, rebana ubi dan potret pemimpin sebagai penghias di tepi laluan utama jalan raya masuk ke kampung itu.

Zahari berkata, JKKK kampung itu mengeluarkan sedikit pweruntukkan untuk membina replika selain bahan terbuang yang dijadikan hiasan di kampung itu.

“Usaha menghiaskan kampung itu dengan jalur gemilang pelbagai rupa bertujuan membangkitkan semangat penduduk terhadap negara,” katanya.,

Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama kampung itu pasti tertarik dengan keindahan kampung berkenaan yang kini bagaikan pesta kerana suasana berbeza yang dapat disaksikan hasil usaha penduduk untuk memartabatkan kampung dan membangkitkan semangat patriotik.