Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said amat cakna rakyat termasuklah di bidang pendidikan masa kini yang berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau tidak putus-putus hadir sendiri majlis penyampaian e-Book dan bantuan pakaian sekolah menemui sendiri ibubapa dan pelajar sekaligus.
Khamis lalu (1 Julai), beliau berbuat demikian di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik di sebelah pagi dan di sebelah petang di kawasan beliau sendiri, Dun Kijal.
Dalam ucapan di kedua-dua tempat itu beliau berulang kali menyatakan hasratnya untuk melihat pelajar dari negeri ini mampu bersaing dalam pelbagai bidang profeisonal, termasuk kedoktoran (perubatan), kejuruteraan, penerbangan dan sebagainya.
Beliau berharap dengan perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri masa kini, lebih ramai pelajar Terengganu, termasuk pelajar perempuan sekalipun berjaya di dalam bidang-bidang berkenaan.
Bahkan katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sanggup berbelanja untuk menghantar para pelajar ke luar negara sekalipun dalam keadaan kewangan yang terhad.
Selain dari hasil minyak, katanya kerajaan negeri cuba menambah pendapatan negeri dengan pelaburan penanaman kelapa sawit termasuk di Indonesia yang akan digunakan juga bagi keperluan pendidikan, termasuk menghantar pelajar ke luar negara.
“Kita sanggup menghantar anak Terengganu ke Russia, Mesir dan lain-lain lagi dan sedang memikirkan ke lain-lain tempat lagi untuk memberi peluang yang terbaik kepada pelajar Terengganu,” katanya.
Dato’ Ahmad berkata, pendekatannya dalam usaha pendidikan dan ilmu pengetahuan untuk pelajar Terengganu tanpa diskriminasi atau ‘memilih bulu’.
“Misalnya pemberian pinjaman, biasiswa, agihan e-Book, pakaian sekolah dan sebagainya tidak pernah mengambil kira politik kepartian keluarga mereka, “ katanya.
“Kita tidak pernah bertanya pelajar yang akan menerima e-Book atau pelajar yang cemerlang dan bantuan itu anak orang Umno atau Pas dan sebagainya,” tegasnya.
Namun begitu katanya, sebagai orang Islam khususnya, kita perlu bersyukur dan berterima kasih kerana ia adalah ajaran agama kita Yang Maha Suci.
TEGANUKITA