Oleh; Esah Abdullah
Berlandaskan roh dan semangat hijrah, seluruh rakyat diajak untuk menghayati erti sebenar istilah hijrah dan tranformasi seperti terkandung dalam tema karnival iaitu 'Hijrah 1Transformasi’.
Menteri di jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, tema yang berdiri di atas semangat dan konsep hijrah ini mengajak umat untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
“Hijrah sebagai pencetus kepada era baru tranformasi, bersesuai dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan dalam bidang keIslaman,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Karnival Hijrah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu petang semalam.
Sultan Terengganu, Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan karvinal yang julung kali diadakan di luar ibu negara itu.
Turut hadir, Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi TV Alhijrah, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Nor.
Katanya, kerajaan telah mengambil pendekatan dengan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan meminjam semangat hijrah menyuburkan perkembangan prestasi kehidupan merangkumi bidang ekonomi, teknologi dalam kerangka pembangunan Islam.
“Semestinya, segala usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat adalah menepati makna, semangat serta matlamat hijrah seperti disunnahkan oleh Rasullullah s.a.w.,” katanya.
Sarannya, marilah bersama berhijrah pada tahap nasional dengan melaksanakan program transformasi menerusi beberapa pelan tindakan yang telah dirancang dengan rapi.
Dato’ Seri Jamil Khir kemudiannya berterima kasih kepada kerajaan negeri selaku tuan rumah yang memberi komitmen dan kerjasama bagi melancarkan perjalanan karnival ini.