Halaman

18 December 2011

Sedia RM28 juta untuk laksana SBPA

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan tambahan sebanyak RM28 juta setahun bagi melaksanakan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bermula tahun depan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata peruntukan itu melibatkan kenaikan purata 10 peratus pendapatan penjawat awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan di Terengganu.

Menurutnya, penerangan secara terperinci akan diadakan minggu depan yang akan dikendalikan sepenuh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan borang penukaran kepada skim SBPA akan diedarkan selepas itu.

“Bagaimanapun penjawat awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan skim lama ataupun menyambung perkhidmatan dengan skim baru SBPA.

“Opsyen ini bukan satu paksaan, sebaliknya mereka (penjawat awam) diberi dua pilihan, sekiranya mereka ingin kekal pada skim lama maka tangga gaji mereka kekal sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Temu Mesra SUK bersama Kakitangan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Mufti Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdullah dan Persuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Encik Mohd Rozali Salleh.

Sementara itu, Dato’ Haji Mazlan memaklumkan sehingga kini sebanyak 8,000 jawatan daripada 12,000 kekosangan sudah diisi manakala baki 4,000 kekosongan lagi masih dibekukan sehingga penyelarasan skim SBPA dilaksanakan sepenuhnya.

Pada majlis itu, Dato’ Haji Mazlan berharap setiap penjawat awam di negeri ini dapat menghayati pengertian sebenar penghijrahan dengan melakukan perkara ke arah kebaikan dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Katanya, penjawat awam juga disarankan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan, minat, mempunyai pelbagai kemahiran dan menerapkan nilai-nilai murni melalui konsep KITA (Knowledge, Interest, Multitasking, Attribute).

Manakala, mereka diminta supaya mengelakkan dan menjahuhi penyelewangan, pembawasan dan pembaziran yang bukan sahaja merugikan jabatan malah kepada diri mereka sendiri.