Halaman

18 December 2011

Parlimen Kuala Nerus, Giatmara tubuh skuad banjir



Oleh FAUZI MOHD


Skuad Banjir kelolaan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Giatmara Kuala Nerus yang dilancarkan semalam bersiap sedia bagi membantu mangsa banjir di sekitar kawasan Parlimen itu.

Skuad yang disertai lebih 30 pelatih Giatmara itu sedia menghulurkan bantuan awal di kawasan yang dinaiki air di tiga kampung terlibat iaitu Kampung Kuala Belara, Bukit Petiti Luar dan Bukit Petiti Dalam, di sini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, pasukan khas yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung itu telah mendapat latihan asas kecemasan berkaitan bencana alam itu.

“Selain agensi kerajaan berkaitan, skuad ini akan bertindak sebagai pemantau dan seterusnya menghulurkan bantuan dalam usaha membantu mangsa banjir,” katanya selepas melancarkan skuad itu di Giatmara Kuala Nerus di Kampung Bukit Petiti, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengurus Giatmara itu, Azmi Ali dan Skuad Sayang Wanita UMNO Kuala Nerus yang diketuai Khadijah Awang.

Selain menerima sumbangan baju hujan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, skuad itu turut dilengkapi peralatan bantuan kecemasan serta peruntukan awal RM3,000 daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tambah Doto’ Mohd. Nasir, masalah yang berkaitan dengan mangsa banjir adalah perkara biasa di kawasan ini khususnya di Kuala Belara yang setiap tahun dinaiki air dan Skuad Banjir bersedia menghadapinya dalam usaha memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik.

"Lebih banyak skuad ini akan ditubuhkan di peringkat kampung-kampung di Kuala Nerus bagi memudahkan kita akan turun padang dan mengisi segala kekurangan yang mereka hadapi semasa musim tenkujuh ini," jelasnya.

Sebelum itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu bersama kepimpinan JKKK dan pelatih Giatmara berkayuh basikal untuk melawat 10 buah rumah warga emas dan penduduk di tiga kampung berkenaan.

Dalam lawatan mesra itu, dua orang kurang upaya mendapat sumbangan kerusi roda, empat pesakit kronik terima bantuan berjumlah RM2,000 serta membaiki dua buah rumah warga emas yang uzur.

Doto’ Mohd. Nasir turut meninjau projek penanaman jagung berkelompok yang diusahakan 25 orang petani di Bukit Petiti yang mendapat peruntukan RM15,000 daripada beliau.