Halaman

21 December 2011

Ujian Kafa – Terengganu catat kelulusan 100 peratus, 4,212 calon dapat 8A

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu terus berada di kedudukan teratas buat tiga tahun berturut-turut apabila mencatatkan jumlah calon paling ramai mendapat 8A iaitu 4,212 calon dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) di seluruh negara tahun ini.

Jumlah itu merupakan 23.8 peratus daripada semua 17,684 calon yang berjaya mencatatkan keputusan 8A dari seluruh negara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam.

Katanya, calon paling ramai mendapat 8A adalah dari Terengganu iaitu seramai 4,212 calon diikuti Kelantan (4,074) dan Kedah (2,478).

"Keputusan UPKK 2011 menunjukkan terdapat 12 buah negeri telah mencapai keputusan cemerlang apabila mencatatkan kelulusan 100 peratus.

"Negeri terlibat ialah Kedah, Terengganu, Kelantan, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Melaka, Johor, Pahang dan Perlis," katanya.

Seramai 189,594 calon menduduki UPKK yang dikelolakan oleh Jakim pada 3 hingga 6 Oktober lalu.

Ia melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Ulum Syariah (Aqidah & Ibadah), Pelajaran Jawi, Sirah, Adab (Akhlak Islamiah) dan Lughatul Quran.

Katanya, keputusan itu menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan.