Halaman

24 December 2011

Kelas bimbingan saudara kita dalam bahasa asing

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merancang mewujudkan lebih banyak kelas bimbingan Saudara Kita (SK) khusus dalam bahasa asing seperti Thailand dan Kemboja berikutan bilangan saudara muslim dari negara berkenaan agak ramai di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, haji Wan Harujan Sulaiman berkata, setakat ini terdapat sebuah kelas bahasa Thailand di Kompleks Darul Hidayah di bawah bimbingan seorang muslim warga Thailand.

“Kita yakin dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, penyampaian dakwah dapat difahami dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Katanya, Maidam telah menaja beberapa tenaga pengajar dari negara Thailand termasuklah yang berkelulusan Institusi Dakwah Islamiyyah Perkim, Pengkalan Chepa.

“Kita berhasrat membuat tajaan penuh kepada SK atau keluarganya yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajar keperingkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya.

Tambahnya, usaha ini bagi melahirkan pendakwah kalangan saudara baru yang boleh jadi pembimbing pada masa akan datang.

Selain itu katanya, tajaan dalam bidang kritikal juga akan diutamakan dengan harapan mereka yang berjaya dapat menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.

“Maidam juga sedia memberi pertimbang menaja dalam bidang lain selain pengajian Islam termasuk bidang kemahiran seperti kulinari, teknikal dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, seramai Sembilan saudara kita yang baru memeluk agama Islam menerima cenderahati berupa sebuah al-Quran dan barangan dapur dari pihak Maidam yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hashim.

Antara penerima berkenaan termasuk dua pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) yang berasal dari Myanmar iaitu Abdul Hadi Thani Abdullah (Pensyarah Jabatan Phatalogy) dan Nur Hidayah Win Abdullah (Pensyarah Jabatan Kejururawatan).

“Mereka ini juga akan menjadi tenaga pengajar sambilan di kelas yang kita adakan khusus untuk memberi bimbingan saudara baru,” katanya.