Halaman

24 December 2011

Perhimpunan terbesar Saudara Muslim di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Konvensyen Saudara Muslim peringkat Negeri Terengganu mencatat sejarah perhimpunan terbesar membabitkan penyertaan lebih 400 orang saudara baru termasuk 105 orang dari masyarakat Orang Asli.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh berkata, perhimpunan terbesar ini kali pertama diadakan dalam usaha menyimpul tali persaudaraan sesama saudara muslim serta mengilap kefahaman mereka mengenai ilmu agama dan pemantapan akidah.

Katanya, pelbagai pengisian termasuk ceramah, motivasi, wacana dan pembentangan kertas kerja untuk memupuk kesedaran dan kepentingan pemahaman ilmu agama serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian secara syumul.

“Konvokesyen ini turut berperanan dalam aspek pengurusan dakwah masyarakat Orang Asli Asli dari Sungai Pergam, Kemaman; Sungai Berua, Hulu Terengganu dan Sungai Sayap, Besut selain menguruskan bantuan serta kebajikan saudara muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program itu di Hotel Primula, hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Mazlan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Konvokesyen dua hari anjuran Maidam itu turut melibatkan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan pada sebelah petangnya melibatkan penyertaan 800 saudara baru dari seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada majlis itu, Muhammad Ramli turut menyampaikan Anugerah Saudara Muslim Cakna dan Anugerah Skim Kecemerlangan Pendidikan Saudara Muslim kepada peserta yang bertuah.

Tambah beliau, Maidam melaksanakan usaha berterusan dalam program penambahan ilmu agama serta pemantapan akidah untuk golongan yang baru memeluk agama Islam.

Katanya, mereka diwajibkan mengikuti kelas fardu ain anjuran Maidam serta menerima elaun khas sebanyak RM240 sebulan atau RM20 pada setiap sesi kelas bimbingan agama dan tempoh bayaran elaun itu dibayar sehingga lapan tahun.

“Selain memberi manfaat dari segi kewangan, mereka tidak merasa terpinggir selepas menganut agama Islam kerana sentiasa dalam lingkaran rakan-rakan,” jelasnya.