Halaman

21 December 2011

Terengganu import 30 hingga 40 peratus daging ayam

Oleh: Aida Abd Rahman

Permintaan terhadap daging ayam yang tinggi di seluruh daerah menyebabkan Terengganu terpaksa mengimport antara 30 hingga 40 peratus daging ayam setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha'ari Idris, berkata pengimportan barang kawalan itu bagi menampung keperluan penduduk yang memilih ternakan itu sebagai menu utama sajian serta seiring dengan pertambahan penduduk Terengganu.
Beliau berkata, berdasarkan kepada populasi penduduknya, Terengganu memerlukan kira-kira 35,000 tan metrik daging ayam setahun.

"Pengeluaran daging ayam di Terengganu hanya kira-kira 23,000 tan atau 70 peratus setahun menyebabkan kita terpaksa mengimport keperluan selebihnya," katanya .

Terengganu memiliki kira-kira 300 ladang ayam dengan jumlah penternak melebihi 2,000 orang yang dapat mengeluarkan antara 5,000 hingga 50,000 ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran.

YB Asha'ari berkata jumlah keperluan daging ayam semakin meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan pertambahan penduduk Terengganu sebanyak 1.4 peratus setahun.