Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah 2011 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, petang esok (22 Disember).
Program anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah itu akan berlangsung selama tiga hari dan berakhir 24 Disember ini.
Tinjauan Teganukita mendapati puluhan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja-kerja terakhir, termasuk membersihkan kawasan karnival dan memasang karpet di pentas utama.
Peniaga dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan serta swasta turut sibuk di gerai masing-masing sebagai persediaan menanti kehadiran ratusan ribu pengunjung.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk rakaman program 30 minit bersama ustaz Don, dialog harmoni, sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV Al-Hijrah, Forum Perdana dan program Adik-Adikku terbitan RTM.
Paling menarik lampu masjid Mamlik, Replika Pedang Rasulullah, Astrolab, Sfera Bintang dan papan lapis bertulis Bismillahirrahmanirrahim akan turut dipamerkan
Dengan tema `Hijrah 1 Tranformasi’, karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.
Karnival bercorak Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.
Peniaga kraftangan, Haji Ismail Abdulllah, berkata dia cukup bertuah kerana terpilih mempromosikan barangan kraf Terengganu sempena karnival yang diadakan tiga hari ini.
Katanya, penganjuran karnival seumpama ini wajar diteruskan kerana bukan saja memberi peluang kepada puluhan peniaga untuk mempromosikan produk masing-masing malah mampu menaikkan imej Terengganu yang nyata serius memartabatkan karnival bercorak Islam