Halaman

24 December 2011

Dua jam bersama rakyat Banggol Donas

Oleh FAUZI MOHD

Hanya dua jam rombongan santai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said ke Kampung Banggol Donas, di sini menjengah kehidupan rakyat memberi makna cukup besar.

Dato’ Abdul Rahin memberitahu, konvoi secara bermotor menyusuri jalan-jalan kampung dan batas tali air itu bagi melawat warga emas, orang kelainan upaya, anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri itu memberitahu, lebih 20 keluarga yang diziarahi turut menerima sumbangan barangan dapur serta meninjau perusahaan kraftangan ayaman yang begitu sinonim dengan kampung berkenaan.

“Kita merasakan, program bersemuka sebegini tanpa perbelanjaan yang besar cukup berkesan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi, sambil mendengar keluh-kesah mereka dan memikirkan apa lagi yang boleh dibantu.

"Secara tidak langsung, kita juga dapat meninjau keadaan kemudahan asas penduduk seperti keadaan rumah, jaringan jalan kampung, tali air serta prasarana sukan untuk golongan muda beriadah," ujarnya ketika ditemui pada program itu semalam.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau projek pembinaan jalan baru empat lorong merentasi Sungai Nerus dan Sungai Terengganu dari Kampung Bukit Guntong ke Kampung Losong yang turut melibatkan kampung berkenaan.

KataDato’ Abdul Rahin, penduduk Kampung Banggol Donas yang selama itu dikatakan ‘kampung dalam kampung’ itu bakal menikmati arus pembangunan yang pesat apabila projek itu siap sepenuhnya kelak.

“Mereka turut mendapat manafaat peluang pekerjaan dan perniagaan kecil daripada beberapa projek baru sekitar ini seperti Kompleks Usahawan Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram yang terletak bersebelahan kampung mereka,” jelasnya.