Halaman

21 December 2011

TATiUC, UniMAP latih 500 belia Nigeria


Oleh FAUZI MOHD

Mengorak langkah seiring matlamatnya menjadi universiti kemahiran menjelang 2015, kepakaran Kolej Universiti Tati (TATiUC) diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan melatih belia Nigeria bermula tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, melalui kerjasama dengan Petmal Oil Sdn. Bhd., seramai 500 belia negara Afrika itu akan mendapat latihan kemahiran berkaitan kejuruteraan di kampus TATiUC di Kemaman dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurutnya, Petmal yang merupakan sebuah syarikat yang dilantik Kerajaan Nigeria melalui sebuah badan, ‘Youth Development Programme’ bertanggungjawab mengurus kemasukan pelajar yang ditaja sepenuhnya kerajaan berkenaan.

“Kini, TATiUC sedang melatih kumpulan pertama seramai 50 orang dalam bidang Teknologi Kimpalan Arka selama 6 bulan dan di kampus UniMAP mereka bakal mengikuti latihan kemahiran pendawaian elektrik, pemesinan dan automotif,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara TATiUC, UniMAP dan Petmal di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Mewakili TATiUC, Rektornya, Dr. Mohd Rozailan Mamat; UniMAP diwakili Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin dan Pengerusi Petmal, Dato’ Paduka Long Mohd. Noor Affendi Long Ibrahim mewakili syarikat itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, pihak TATiUC melalui Petmal turut menghantar satu kertas cadangan kepada ‘Youth Development Programme’ untuk dilantik sebagai konsultan bagi cadangan penubuhan sebuah institusi kemahiran di Nigeria.

“Jika diterima, sebahagian pelajar Nigeria akan dilatih di negara mereka sendiri dengan seliaan dan kawalan mutu dilakukan TATiUC.


“Malah, beberapa orang pensyarah dan pengurusan TATiUC akan dihantar bertugas di negara itu untuk memastikan onstitusi tersebut beroperasi dengan baik mengikut piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan RM50 juta daripada Kerajaan Negeri kepada TATiUC bagi membina sebuah kompleks asrama yang boleh memuatkan sehingga 1,000 pelajar.

“Projek ini dijangka siap pada 2013 dan mampu menampung lebih 3,000 pelajar dalam satu-satu masa sekali gus menjadi penggerak kepada pembangunan Bandar Baru Kijal yang sedang rancak dalam pembinaan,” ujarnya.