Halaman

22 December 2011

Jawatankuasa bincang solat dua kariah hari ini

Oleh; Esah Abdullah

Isu solat Jumaat dua kariah yang berlaku di 11 masjid di negeri ini menjadi agenda khas di mesyuarat jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diadakan di bilik mesyuarat Pejabat Mufti Negeri pukul 9.30 pagi hari ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hasihim berkata, ahli jawatankuasa akan berbincang serta mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan yang telah berlarutan sekian lama.

“Kita, akan mengambil satu keputusan hari ini hasil perbincangan ahli-ahli jawatankuasa,” katanya dalam sidang media di pejabat Maidam semalam.

Katanya, ahli jawatankuasa mesyuarat terdiri dari Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri , Ketua Polis, Pegawai Kewangan negeri, Mufti Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam serta beberapa wakil pejabat firma guaman dan ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam.

“Kita berpendapat, isu ini boleh diselesaikan melalui tindakan secara pentadbiran dan akan dibincang secara teperinci serta mencari kaedah sesuai,” katanya,

Katanya, pihak Maidam sedar masalah yang berlarutan ini sukar diselesaikan apabila ada pihak yang berkeras dan tidak memberi kerjasama kerana lebih mementingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam.

Sementara itu, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan bagi pihak Maidam menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM 42,718 daripada Agrobank Terengganu yang diwakili Pengurus Wilayah Terengganu/Kelantan, Haji Mohd Rahim Mohd Zain.