Halaman

20 December 2011

Kekal prestasi tahunan-Pengurus Besar PMINT

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berhasrat mengekalkan kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini termasuk penarafan tertinggi empat bintang bagi Pengurusan Kewangan PMINT dalam Laporan Audit Negara 2010.

Selain itu, PMINT turut meraih Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2001 dan Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S 2011 buat tahun kedua berturut-turut.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, pihaknya tidak mahu mendabik dada dan alpa dengan pencapaian yang diraih sepanjang tahun ini.

Sebaliknya, beliau mahu semua kakitangan mengekalkan kejayaan dan pengiktirafan itu pada masa akan datang supaya perbadanan itu dipandang tinggi serta memiliki pengurusan yang baik dan cemerlang.

Katanya, bagi mengekalkan kejayaan itu, semua pihak terutama pegawai dan kakitangan PMINT harus mempunyai sikap terbuka, meningkatkan ilmu dalam diri dari semasa ke semasa.

“Malah, kita juga perlu menambah ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi dan bersedia serta sanggup melakukan transformasi mengikut perkembangan semasa,” katanya ketika Majlis Makan malam MPINT, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Dato’ Osman juga berharap supaya semua anak syarikat PMINT yang dikesan bermasalah dapat mengatasi masalah yang timbul serta mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Audit Negara bagi memastikan perbadanan itu dapat mengekalkan prestasi cemerlang yang diraih sebelum ini.