Halaman

18 December 2011

YPKT sedia modul seiringan program Permata Negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan pelbagai kursus kepada ibu bapa bagi memastikan golongan itu dibekalkan dengan ilmu pengasuhan dan pendidikan yang seiringan dengan kurikulum program Permata Negara.

Antara kursus dan bengkel keibubapaan termasuk Bengkel Menggilap Potensi Awal Kanak-kanak, Bengkel Bermain di Taska, Bengkel Kreatif Bersama Ibu Bapa dan Bengkel Urutan Bayi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha yang dilaksanakan YPKT itu sebagai pendedahan supaya golongan ibu bapa memahami konsep kepentingan program Permata Negara yang bakal diterapkan kepada anak-anak mereka kelak.

Katanya, selain kursus dan bengkel berkenaan, pihaknya turut menekankan isu pemakanan yang menjadi elemen penting dalam pembangunan serta perkembangan minda awal kanak-kanak.

“Kerajaan melalui YPKT bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi mengadakan satu bentuk menu berkhasiat dan berkualiti menggunakan sumber pemakanan asas-asas dengan kos hidangan yang lebih rendah,” katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan juga berharap agar dengan adanya menu pemakanan yang sihat bersesuaian dengan diet dan nutrisi yang terkandung dalam menu itu mampu membantu perkembangan minda kanak-kanak.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bermula tahun ini, YPKT mengambil inisiatif memasukkan kurikulum Program Cahayaku Cepat Membaca kepada anak-anak berumur tiga hingga empat tahun bagi mengasah minda dan mengenal huruf ketika kecil lagi.

Malah, usaha itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan berupaya membaca dengan baik apabila mereka mula memasuki tadika sebaik sahaja berusia lima tahun kelak.