Halaman

21 December 2011

Maidam belanja RM2.5 juta zakat sinf mualaf

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membelanjakan RM2.5 juta melalui zakat sinf mualaf sepanjang tahun ini berbanding RM1.85 juta (2009) dan RM1.63 juta (2010).

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, anggaran perbelanjaan berkenaan dijangka meningkat kepada RM5.4 juta tahun depan.

“Fokus perbelanjaan banyak tertumpu untuk program pembangunan insan saudara muslim termasuk bayaran elaun kepada 490 pelajar dan 25 orang guru bagi 19 kelas bimbingan saudara kita di setiap daerah seluruh negeri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut Haji Wan Harujan, kepelbagaian program diadakan termasuk lawatan dan kursus jati diri serta program integrasi sosial masyarakat Orang Asli di Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Lain-lain aktiviti katanya, seperti agihan zakat hari raya, majlis berbuka puasa dan kem Ramadan serta ibadah korban di samping majlis tilawah, hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita.

Tambahnya, pihak Maidam juga turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan am seperti bantuan perkahwinan, persekolahan, pengurusan jenazah, sara hidup, bantuan modal berdikari, baikpulih rumah, perubatan dan berkhatan.