Halaman

05 January 2011

Majlis Pelancaran Sistem OSC Online MBKT

Oleh:Mohamad Shahrir Abdul Hamid

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang telah merasmikan majlis pelancaran sistem Unit Pusat Setempat (OSC) online pada petang semalam (4 Januari) bertempat di Bilik Sidang Video Telekom Malaysia, Kompleks Medan Jaya, Marang jam 3.00 petang.

MBKT merupakan antara 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih bagi majlis pelancaran tersebut yang dijalankan serentak di seluruh negara oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Datuk Wira Chor Chee Heung secara sidang video langsung dari Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Sistem OSC Online diharap akan dapat memendekkan tempoh masa menunggu bagi permohonan yang diproses serta dapat mengurangkan masa yang diambil untuk membuat sesuatu perancangan”, ulas Datuk Bandar ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Sistem OSC Online dibangunkan oleh perunding yang dilantik oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan merupakan sistem permohonan di mana pemohon yang berdaftar dengan MBKT boleh menghantar permohonan pelan cadangan pembangunan secara dalam talian terus kepada MBKT.

MBKT telah menerima 3200 permohonan sejak tahun 2007 dengan purata permohonan antara 800 hingga 900 setahun dan 80 hingga 90 permohonan sebulan. MBKT menduduki tempat ketiga dalam menerima permohonan tertinggi antara PBT di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 100 peratus permohonan berjaya diselesaikan.

Sistem ini akan beroperasi sepenuhnya pada Februari ini selepas melalui tempoh percubaan selama sebulan selepas majlis pelancaran dan sebulan selepas tempoh itu. Pemohon yang ingin mengunakan Sistem OSC Online perlu mendaftar dengan MBKT dan mengisi permohonan melalui laman web MBKT (http://online.mbkt.gov.my).

Dua pilihan diberikan kepada pemohon untuk menghantar permohonan samada melalui secara manual dengan menghantar terus ke kaunter OSC, Tingkat 7 ataupun melalui Sistem OSC Online mengikut keselesaan dan kemampuan pemohon tersebut.

Datuk Bandar MBKT meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri terutama kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kerana banyak memberi sumbangan serta bantuan dalam setiap aspek dalam memastikan MBKT mengorak langkah seiring dengan PBT lain.

“Pihak MBKT mengalukan sebarang cadangan atau pandangan daripada pelbagai pihak terhadap kekurangan atau kelemahan dalam memberi khidmat kepada rakyat bandaraya dan perkara ini dianggap kredit kepada kami dalam memastikan perkhidmatan yang lebih baik dari masa ke semasa”,katanya lagi

TEGANUKITA