Halaman

08 January 2011

PEMIMPIN UMNO DAN PAS HADIR DI MAJLIS KAWAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


(Gambar - Khairul menerima anugerah berupa wang tunai RM750 dan sijil penyertaan dari Exco Negeri Terengganu Yahya Khatib Ali, yang diiringi oleh Fatimah Merican, Pengarah Urusan Perniagaan Subsidiari Exxon-Mobil Malaysia)

“Malam yang penuh gemilang - ceria, `suspen' dan menghiburkan. Begitulah yang dapat digambarkan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat - ExxonMobil 2010 yang diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu pada 5 Januari 2011 lalu”.

Kata-kata di atas dipetik dari blog yang dimiliki oleh Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT).

Tetamu istimewa yang dijemput merasmikan malam anugerah penuh gemilang KAWAT itu ialah YB Yahya Khatib Mohamad, Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri yang baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Pada 1 Januari 2011 juga, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi BPUNT.

Kehadiran YB Yahya Khatib sebagai tetamu khas KAWAT dan merasmikan Malam Anugerah itu amatlah memeriahkan malam itu, di samping turut Exco Kanan Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif, YB Haji Khazan Che Mat (Exco Agama dan Penerangan Negeri), Y.B Ustaz Ramli Noh.

Tambah hebat lagi pemimpin pembangkang juga hadir di malam itu sebagai tetamu KAWAT, ADUN Pas Ladang, YB Tengku Hassan Omar dan Setiausaha PAS Terengganu, Haji Yahya Ali.

Blog KAWAT itu menyebut, malam itu diserikan pula dengan persembahan tarian dan nyayian, dicuitkan dengan ucapan perasmian yang lucu tapi bermakna, menjadikan malam itu penuh dengan nostalgia pada mereka yang hadir.

Menurut blog berkenaan, ketika berucap pada majlis itu, Presiden KAWAT, Ayob Mamat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak ExxonMobil yang terus menyokong penganjuran anugerah bermula dengan nilai penajaan sebanyak RM70,000 dan jumlah itu adalah sangat bererti Terengganu kerana menampakkan sentiasa dihargai oleh ExxonMobil.

Pada malam itu, lapan kategori dipertandingkan iaitu kategori Penulisan Berita Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Berita Sukan Terbaik, Rencana Terbaik, Foto Terbaik, Berita TV Terbaik, Anugerah Khas Radio dan Anugerah Khas Presiden.

Bagi penulisan Berita Terbaik, tempat pertama dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), kedua Hazlan Hassan (Harian Metro) dan ketiga Khairul Azlam Mohamad(Harakah).

Wartawan Teganukita, Aida Abdul Rahman turut memenangi tempat pertama bagi katogeri berita sukan terbaik, kedua Zainuddin Mohamad dari NST dan Ibrahim Abu Bakar dari Bernama.

Wartawan Berita Harian, Haneeyzah Baharuddin mendapat tempat pertama, kedua Ahmad Rabiul Zulkifli (Harian Metro) dan ketiga Irman Hashim (Utusan Malaysia).

Kategori Rencana Terbaik dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), Mohd Lazim Endut (Sinar Harian) dan ketiga Aida Rahman (Teganukita)

Jurufoto Berita Harian, Rozainah Zakaria menggondol tempat pertama bagi kategori Foto Terbaik, kedua Azlan Baharom (Utusan Malaysia) dan ketiga Aswadi Alias (Berita Harian).

Bagi kategori Berita TV Terbaik dimenangi oleh Aziz Abdullah (TV3), kedua Khalid Abdullah (RTM) dan ketiga Nur Fazlizai Ali (TV Bernama).

Juruhebah Terengganu FM, Azrul Faizal Jusoh menerima Anugerah Khas Radio manakala Jurufoto Utusan Malaysia Kuala Lumpur yang juga pendaki solo negara, Mohd Noor Amindianugerahkan Anugerah Khas Presiden.

Tulisan atau berita Khairul Azlam Mohamad dari Harakah bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang anugerah KAWAT-Exxon- Mobil dalam katogeri penulisan berita terbaik.
Menurut sebuah blog pembangkang,tulisan Khairul bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Blog itu menyatakan, rencana yang mengisahkan tentang sederetan rumah kedai di kampung Cina Kuala Terengganu kini telah dimusnahkan oleh kerajaan UMNO/BN pada tahun 2009.
Diucapkan tahniah kepada KAWAT kerana dapat meneruskan Anugerah ini bagi kesekian kalinya.

TEGANUKITA