Halaman

01 June 2011

Kerajaan sentiasa pantau jalan rosak

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa memantau kerja-kerja pembaikan jalan-jalan utama secara rutin iaitu bagi memastikan kelancaran pengguna jalan raya menuju destinasi masing-masing.



Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, kerja-kerja rutin berkenaan termasuklah penampalan pothole, pemotongan rumput, mencuci longkang dan perabot jalan.

“Peningkatan isipadu trafik yang terdiri daripada pelbagai kenderaan terutama muatan berat seperti lori yang kini semakin bertamba telah memberi kesan buruk keadaan permukaan jalan,” katanya.

Katanya, pihak jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sentiasa berusaha bagi mengatasi kerosakan jalan raya utama yang berlaku di daerah Hulu Terengganu membabitkan peruntukan RM25.4 juta.

“Setakat ini sejumlah RM1.1 juta telah diluluskan bagi tujuan penyelengaraan jalan, jambatan, saliran dan cerun di daerah itu,” katanya.

Katanya,antara jalan yang dikenal pasti termasuklah Sungai Temala/Ajil/ Landas, Gaung/Ajil dan Gaung/Teris serta jalan utama ke pekan Kuala Berang.

Sehubungan itu langkah-langkah juga diambil bagi mengatasi masalah limpahan air sungai dan jalan raya dinaiki air bila berlaku hujan lebat.

“Antaranya ialah menaikkan aras jalan sedia ada, menyelenggara sungai sekitar Kuala Berang, membesarkan longkang dan laluan air serta menaik taraf dan meningkatkan sistem perparitan,” katanya.

“Kita juga bercadang menyusun semula kampung-kampung yang sering menghadapi masalah banjir di Kampung Bukit Tadok, Pengkalan Ajal dan Kampung Gunung untuk mengelak perkara berkenaan berlarutan,” katanya.