Halaman

01 June 2011

JPNT digesa agresif tangani salah laku pelajar

Oleh : Aida Abd Rahman


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan

Polis menggesa Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan yang lebih agresif bagi mengatasi kejadian salah laku seperti membuli dan memukul sesama rakan terus berlaku di kawasan sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, polis merekodkan sebanyak 10 kes jenayah salah laku melibatkan pelajar.

"Walaupun tidak banyak kes ini dilaporkan namun pihak polis tetap memandang serius masalah ini dan berharap pihak JPNT dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita sentiasa memantau perkara ini melalui pegawai perhubungan sekolah selain mengadakan program-program seperti Kelab Pencegahan Jenayah dan pasukan Kadet Polis bagi menggelakkan berlakunya kejadian jenayah melibatkan pelajar," katanya, semalam.

Sebelum ini, katanya pelbagai kaedah dan pendekatan telah diambil termasuk mengenakan hukuman terhadap pelajar yang melakukan kesalahan itu, namun ia masih gagal untuk menangani masalah tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa melakukan pengawasan yang lebih ketat terhadap anak-anak mereka selain memberi penekanan dalam pendidikan agama.

Mengulas kejadian pukul yang melibat seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal Rabu lepas sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan, Manoharan berkata polis masih menunggu laporan perubatan dan prestasi daripada pihak sekolah sebelum merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.