Halaman

30 May 2011

Sokongan Tionghua berdepan PRU Ke-13

Oleh: Aida Abd Rahman



Masyarakat Tionghua di Terengganu diminta bersama-sama memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dengan semangat setiakawan serta membantu parti ini berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Terengganu tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan sokongan kaum itu berbanding di Pantai Barat kerana hubungan yang rapat antara kaum serta persefahaman yang terjalin sekian lama itu mampu diteruskan.
“Saya harap pemimpin (Tionghua) yang berumur ini mampu memberi bimbingan dan peringatan kepada generasi muda yang bukan hanya kepada masyarakat Tionghua, malah Melayu juga yang terlibat dengan gejala tidak sihat seperti merempit. Oleh itu, persefahaman itu perlu bagi mengekalkan kestabilan negara dan parti kita,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan bangunan Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu, di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri , YB Toh Chin Yaw dan Presiden Persatuan Dewan perhimpunan Tiong Hua Terengganu, Foo Chee Wan.

Bangunan Perhimpunan Tiong Hua berkenaan yang dibina sejak tahun lalu dengan harga RM3.5 juta sumbangan kerajaan negeri kini mula beroperasi untuk kemudahan menggerakkan aktiviti masyarakat Cina.

Menteri Besar berkata, walaupun jumlah pengundi Cina di negeri ini adalah minoriti, namun peranan serta komitmen mereka sangat penting bagi membolehkan BN merampas kembali beberapa kerusi yang dimenangi parti pembangkang, khususnya di Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita berharap masyarakat Tionghua di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat mengembalikan sokongan kepada kerajan BN dan saya yakin mereka tidak ada masalah untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Beliau turut berharap kira-kira 9,000 pengundi Cina di negeri ini bersatu bagi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN untuk memberi kemenangan pada PRU ke-13 akan datang selain bersama-sama mencorak kestabilan politik dan pembangunan di Terengganu.

Pada PRU ke-12 lalu, dalam Parlimen Kuala Terengganu hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dimenangi calon BN iaitu daripada parti MCA, manakala DUN Batu Buruk, DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang dan Parlimen Kuala Terengganu pula dimenangi oleh Pas.