Halaman

31 May 2011

Tfm sedia program ilmu untuk golongan muda

Oleh: Esah Abdullah


Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) menyediakan pelbagai program berilmu untuk golongan muda dalam usaha menyalurkan inspirasi kerajaan kepada golongan berkenaan melalui siaran yang ke udara setiap hari.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, program Rentak Remaja menyalurkan info terkini, panduan belajar, sudut kerjaya, hobi, ikon serta kaunseling menerima maklum balas positif.

“Rancangan Suara Kampus membabitkan penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA/IPTS) dan ruangan kuiz untuk pendengar ternyata mendapat sambutan baik pendengar pelbagai lapisan masyarakat,” katanya di majlis penyampaian hadiah Kuiz Tfm Belia di Auditorium Tfm, Bukit Pak Apil semalam.

Katanya, usaha menghargai pendengar ternyata memberi impak positif ke arah merealisasikan visi merakyatkan RTM menerusi program turun padang yang dilaksanakan.

Menurut Dr. Nawiyah, Tfm telah muncul negeri ketiga terbaik seluruh negara kerana berjaya menarik pendengar melebihi 100,000 orang.

“Kita sentiasa berusaha menyediakan rancangan terbaik untuk pendengar untuk menaikkan rating pendengar di negeri ini disamping membuka peluang masyarakat menyertai kuiz yang menawarkan hadiah wang tunai,”katanya.

Sehubungan itu, 20 orang pendengar setia Tfm yang juga pemenang kuiz belia yang bersiaran sejak seminggu lalu menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.