Halaman

03 June 2011

Nelayan kecil layak dapat lesen secara automatik

Oleh;Esah Abdullah



Mulai hari ini semua awak-awak (nelayan) di seluruh negara yang menerima elaun sara hidup dan memiliki sampan sendiri akan diberikan lesen sampan secara automatik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar berkata, urusan untuk memiliki lesen dipermudahkan bagi membolehkan mereka berdikari dan tidak selamanya bergantung kepada pihak lain.

“Nelayan yang ingin memohon lesen mesti membawa kad nelayan sebagai bukti mereka penerima elaun sara hidup dan kita akan lulus serta merta,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup secara tunai kepada nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, setakat ini terdapat 15,900 awak-awak di seluruh Negara sudah memiliki lesen sampan dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

“Saya difahamkan terdapat lebih 400 awak-awak di negeri ini tidak mempunyai lesen sampan tetapi terpaksa keluar ke laut demi tuntutan kehidupan,” katanya.

Katanya, 90 peratus kalangan mereka ini memiliki kad nelayan dan menerima elaun sara hidup daripada kerajaan.