Setiap kali berucap di khalayak ramai Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said, tidak akan sekali-kali lupa menyampaikan pesanan penaja – “UNDILAH BARISAN NASIONAL BILA TIBA PILIHAN RAYA”.
Itulah tagline beliau dan pesanan ringkas tersebut amat mudah diingati setiap hadirin yang datang ke majlis beliau yang diadakan di segenap pelosok negeri.
“Kerajaan sudah bagi kita macam-macam. Dari keperluan anak-anak sekolah hinggalah bantuan hari raya. Semua kerajaan bagi kepada rakyat,” kata Menteri Besar.
Melanjutkan bicara, pemimpin berjiwa rakyat itu sering berkata kerajaan tidak pernah minta rakyat untuk melakukan kerja-kerja berat.
“Kita tidak minta rakyat menebas atau buat macam-macam kerja berat. Cuma satu yang kerajaan minta iaitu bila tiba pilihan raya undilah Barisan Nasional (BN),” kata Menteri Besar yang biasanya akan diiringi dengan tepukan gemuruh hadirin.
Dato’ Seri Ahmad menegaskan adalah tidak wajar jika rakyat menentang kerajaan sedangkan pada masa yang sama mereka menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Itulah Menteri Besar Terengganu, beliau tidak akan jemu-jemu merayu kepada rakyat untuk terus menyokong dan mendokong Kerajaan BN kerana tidak rela negeri ini jatuh ke tangan pembangkang.
Beliau tidak mahu negeri ini mengalami zaman gerhana sekali lagi seperti yang berlaku pada 1999 hingga 2004 iaitu ketika Pas memerintah Terengganu.
Pemimpin berjiwa rakyat yang pernah mengalami jatuh bangun dalam politik itu, mahu memastikan kesinambungan perjuangan pemimpin Umno dan hasrat pemimpinya untuk terus menabur bakti kepada rakyat sepanjang zaman, tercapai.