Halaman

04 June 2011

Terharu kecaknaan kerajaan

Oleh: Esah Abdullah

Saya sangat berterima kasih di atas kecaknaan pihak kerajaan memperkenalkan skim perlindungan insuran untuk golongan nelayan dalam usaha memastikan kebajikannya sentiasa terbela.

“Saya juga terharu dengan keputusan yang diumumkan kerajaan, akan memberi lesen sampan secara automatik kepada golongan nelayan tradisional untuk berdikari,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Encik Mat Yasin Mohamad,50

Katanya, walau pun sebelum ini sesetengah nelayan telah menikmati skim perlindungan yang disediakan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nikmat) tapi dengan cara pemotongan elaun sara hidup ini memudahkan nelayan untuk mencarum.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar telah mengumumkan akan menyediakan skim perlindungan insuran kepada nelayan di seluruh negara dengan cara pemotongan RM10 sebulan daripada RM200 elaun sara hidup mereka terima.

Menurut Encik Mat Yasin melalui pelbagai peluang yang disediakan pihak kerajaan golongan nelayan hari ini sudah dapat memulihkan keadaan ekonomi mereka.

“Saya sangat berterima kasih, di atas usaha kerajaan yang berterusan membantu golongan nelayan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan termasuk menyediakan pelbagai program jaya diri bagi menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong Encik Abdul Rahman Mahmud, 67 dari Kampung Duyung Kelab Aya yang sudah menjadi nelayan sejak muda.

“Dalam usia sebegini, saya tidak lagi seaktif dulu turun ke laut tapi dengan adanya elaun sara hidup yang kerajaan beri, bolehlah beli keperluan harian.” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar.

Encik Romainor Yusof, 40 dari Kampung Chendering juga menyatakan terima kasih kepada kerajaan yang sangat memahami kesusahan dan kesulitan golongan nelayan terutama bila tiba musim hujan.

“Elaun sara hidup dan skim perlindungan insuran yang diumumkan itu, kita tidak bimbang sangat mengenai nasib keluarga bila apa-apa berlaku kepada kita dikemudian hari,” katanya.