Pengerusi Persatuan Pengusaha Kedai Buku Melayu Terengganu (Perkeb), Encik Mohd Zulkifli Abdul Wahid menarik nafas lega apabila berjaya mencapai jualan kasar berjumlah RM500,000 dalam Karnival Pendidikan Terengganu yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).
Katanya, karnival yang berlangsung lima hari berakhir semalam itu telah menerima pengunjung hampir 70,000 orang yang telah melebihi sasaran awal.
Pada pemerhatian beliau karnival seperti ini amat digemari ‘ulat buku’ untuk mendapatkan bahan bacaan yang baru berada dipasaran.
“Tahun ini pihaknya hanya menyediakan 60 gerai pameran dan jualan buku berbanding tahun lepas melebih 100 buah dan mendapat pulangan jualan kasar lebih RM1 juta,” katanya.
Katanya, disamping pelajar karnival ini turut dikunjungi orang ramai terdiri dari pekerja dan juga suri rumah yang memilih pelbagai tajuk buku dan novel keluaran terkini.
“Setiap pengunjung yang datang pasti membawa pulang paling kurang sebuah buku dan apa yang membanggakan saya, mereka merupakan pembaca tegar yang mengikuti perkembangan semasa,” katanya.
Katanya, ada juga yang sanggup berbelanja besar hingga mencecah ribuan ringgit semata-mata memenuhi cita rasa diri dan keluarga dengan membeli beberapa tajuk buku digemari.
Karnival berkenaan adalah anjuran bersama Pejabat Pelajaran Terengganu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pelajaran dan Perkeb yang diadakan bersempena Sambutan Hari Guru ke-40 tahun ini.