Halaman

31 May 2011

Bantuan pentadbiran untuk persatuan Mat Roda-Roda

Oleh: Esah Abdullah


“Apa pun, kerajaan akan mencari jalan terbaik dalam usaha mengekang gejala Mat Roda-Roda agar tidak berpanjangan dan memantau setiap aktiviti mereka supaya memberi pulangan baik bukan sebaliknya.” YB Haji Rozi Mamat.

Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan pentadbiran kepada kumpulan mat motor jika mereka bergerak sebagai sebuah persatuan yang sah dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, jika ada persatuan, segala aktiviti yang ingin dijalankan boleh diselaraskan dengan Jabatan Belia dan Sukan beserta dengan peruntukan.

“Kita akan bantu melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan kehendak dan minat golongan muda terutama Mat Roda-Roda (Mat Rempit) yang semakin bertambah sejak kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pemenang Kuiz Tfm Belia di Auditorium Terengganu Fm, Bukit Pak Apil semalam.

Hadir sama, Pengarah Belia dan Sukan Terengganu, Encik Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Katanya, kerajaan memberi peluang sangat besar kepada golongan muda dan Perdana Menteri sendiri amat memahami perasaan golongan berkenaan dan telah mengumumkan enam perkara untuk kepentingan belia di Perhimpunan Sejuta Belia yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

“Pastinya kewujudkan Perlimen Belia diumumkan PM merupakan satu transformasi yang dibawa kerajaan khusus untuk golongan muda kerana golongan ini adalah pencorak masa depan negara,” katanya.

Menurut YB Haji Rozi, kerajaan juga sedang mencari lokasi sesuai untuk dijadikan litar bagi kegiatan lebih 5,000 Mat Roda-Roda di daerah ini menjalankan aktiviti mereka.

“Kita tersepit antara kepentingan awam dan keperluan golongan ini dan ada cadangan wujud litar di Gong Badak tetapi kurang sesuai kerana terletak dipersekitaran taman perumahan yang boleh menganggu ketenangan penduduk terutama waktu malam,” katanya.

YB Haji Rozi berkata,di kawasannya (Hulu Terengganu) ada tanah tetapi bimbang tidak mendapat sambutan kerana semua sedia maklum kebanyakkan kegiatan lumba haram tertumpu disekitar bandaraya ini.

“Apa pun, kerajaan akan mencari jalan terbaik dalam usaha mengekang gejala Mat Roda-Roda agar tidak berpanjangan dan memantau setiap aktiviti mereka supaya memberi pulangan baik bukan sebaliknya,” katanya.