Halaman

01 June 2011

Kerajaan Terengganu pantau bangunan atas bukit

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika sesi sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Iman.

Kerajaan Terengganu turut memantau bangunan yang dibina di atas bukit di negeri ini bagi memastikan ia selamat diduduki.

Menteri Besar berkata, walaupun hanya sebilangan kecil bangunan yang terdapat di negeri ini di bina di atas bukit, tetapi pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku.

“Kita di Terengganu berbeza dengan negeri lain seperti Selangor di mana banyak bangunan dibina di atas bukit, tetapi pemantauan tetap dilakukan,” katanya kepada sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan tanah tinggi sebagai kawasan pembinaan memerlukan kos yang tinggi dan disebabkan masalah itu tidak banyak kawasan bukit terlibat dengan pembinaan kediaman atau bangunan-bangunan lain.

“Kita tidak ada banyak masalah pembinaan di kawasan tanah tinggi,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) lebih pro-aktif dalam usaha menangkap harimau yang dikatakan mengganas di kawasan Jambu Bongkok, Marang.

Beliau mahu haiwan liar tersebut ditangkap segera bagi mengelakkan ternakan penduduk tempatan menjadi mangsa dan menghilangkan ketakutan orang ramai di kawasan tersebut.