Halaman

01 June 2011

Isu pemilikan tanah haram selesai akhir tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib


“Kita harap orang ramai, terutama penjawat awam tidak terlibat dengan kegiatan meneroka tanah kerajaan secara haram kerana ia salah di segi undang-undang.” - YAB Dato' Seri Ahmad Said.

Kerajaan negeri yakin isu pemilikan tanah haram di seluruh negeri akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata buat masa ini pihak berkenaan sedang memproses semua permohonan pemilikan tanah haram yang telah dikemukakan orang ramai yang meneroka tanah kerajaan secara tidak sah, sebelum 31 Disember 2006.

“Sebelum ini kerajaan telah memutuskan mereka yang meneroka tanah kerajaan sebelum tarikh berkenaan dibenarkan membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) hari ini.

Sehingga ini, terdapat lebih 500 permohonan bagi tujuan itu sedang dalam proses dan ia dijangka siap sebelum akhir tahun ini.



Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, pihaknya telah mengarahkan pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) supaya membuat pemantauan di seluruh negeri bagi mengelakkan kejadian meneroka tanah kerajaan secara haram.

“Kita harap orang ramai, terutama penjawat awam tidak terlibat dengan kegiatan meneroka tanah kerajaan secara haram kerana ia salah di segi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, bagi penjawat awam mereka boleh mengemukakan permohonan sama ada untuk memilik tanah lot rumah atau pertanian jika mereka telah berkhidmat melebihi lima tahun.