Halaman

29 May 2011

Pameran Tamadun Islam pamer 150 artifak perang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pameran Tamadun Islam di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu yang berlangsung tujuh hari bermula 19 Mei lalu menjadi medan mengetengahkan 150 peralatan dan artifak serta peralatan perang zaman dahulu dan kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata peralatan perang seperti pedang dan belati, peralatan perubatan dan perundangan, peralatan adat dan budaya serta peralatan astronomi yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam lampau dipamerkan di karnival itu.
“Pameran julung kali diadakan di negeri ini dapat mengetengahkan artifak Islam sebagai material pameran untuk dipertonton kepda khalayak umum supaya ianya sinonim dengan arus kemodenan Islam.

"Selain itu ia juga untuk memberi kesedaran tentang kepentingan sejarah Islam dalam peradaban manusia sejagat," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Tamadun Islam, di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Datuk Abdul Rahin, berkata pameran seumpama itu juga dapat menambah kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada umat Islam serta para pengunjung terutama pelajar.

Beliau berkata, bayaran sebanyak RM10 dikenakan bagi golongan dewasa, manakala pelajar berpakaian sekolah dan kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.

Pameran itu dianjurkan syarikat, Dynasty Event Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Terengganu.