Halaman

28 May 2011

Sekolah Maya diperluaskan ke sekolah menengah

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Hassan Harun

Kelas Maya yang diperkenalkan di sekolah rendah negeri ini akan diperluaskan pula di sekolah menengah seluruh negeri mulai tahun depan.

Buat permulaan, dua sekolah elit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Setiu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Kemaman, dipilih sebagai projek perintis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi & Sains dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sekolah tersebut dijangka memulakan
Kelas Maya bagi pelajar tingkatan satu mulai Julai tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai keperluan bagi membolehkan Kelas Maya diadakan.

“Kita akan menggunakan modul khas bagi Kelas Maya di sekolah menengah yang agak berbeza dengan Kelas Maya di sekolah rendah,” katanya kepada Teganukita semalam.

Menurutnya, selepas ini lebih banyak sekolah menengah akan memulakan Kelas Maya yang kini semakin terbukti banyak member manfaat kepada para pelajar.

Katanya, dengan memperluaskan Kelas Maya ke sekolah menengah kerajaan negeri berharap lebih ramai pelajar menjadi ‘celik’ IT.