Halaman

27 May 2011

Bicara media jadi saluran baiki kepimpinan

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) merupakan antara medium tepat kepada pemimpin dan Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenal pasti kelemahan kepimpinan masing-masing menerusi respon kumpulan pengamal media.

“Program anjuran Ukom amat bertepatan kerana kita mendapat `signal’ daripada kumpulan media, kadangkala kita merasakan apa yang kita lakukan betul semuanya, tetapi ada yang kita rasa baik kepada diri kita dan mungkin tidak sampai kepada masyarakat serta rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, di majlis Bicara Media, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato' Mohamed merupakan pemimpin kelima yang dijemput sebagai tetamu khas sempena program bual bicara bersama pengamal media yang dilaksanakan secara bulanan inisiatif pejabat Ukom.

Dalam program sama sebelum ini, tetamu khas termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad.

Dato’ Mohamed berkata, pertemuan dua hala secara terus antara pemimpin dan kumpulan media di majlis itu sedikit sebanyak mampu memberi input berguna kepada kedua-dua pihak melalui perkongsian pandangan, idea dan juga persoalan yang diajukan pihak media.

Katanya, pandangan golongan media amat penting kerana kumpulan ini merupakan pihak yang sentiasa turun ke bawah untuk mengupas pelbagai isu yang terdapat dalam masyarakat sebagai bahan untuk siaran media masing-masing.

“Segala pandangan dan isu itu boleh kita guna pakai dan perhalusi demi memperbaiki kelemahan serta indikator bagi memajukan bidang yang diterajui,”katanya lagi.

Sebagaimana portfolio lain, menurut Dato’ Mohamed, portfolionya turut menyusun hala tuju untuk tempoh lima tahun bermula 2008.

“Beberapa projek teras yang kita susun termasuk `membandarkan’ luar bandar sebagai tambahan terhadap apa yang dilaksanakan Kerajaan Pusat sebab menjadi tanggungjawab utama Kerajaan Pusat membangunkan luar bandar melalui pembangunan dan program luar bandar seperti klinik desa, jalan dan elektrik 24 jam.

“Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM25 juta setiap tahun untuk membangunkan bandar melalui peruntukan membina empat hingga lapan blok bangunan komersial dua tingkat di kawasan yang baru membangun sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu memberi peluang kepada usahawan luar bandar untuk memulakan perniagaan sekaligus membangunkan kawasan luar bandar dengan pertumbuhan pusat perniagaan baru yang menepati perkembangan semasa dan tidak lagi menggunakan konsep gerai sebagaimana dilakukan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya,sektor peruncitan juga menjadi tumpuan utama dan atas faktor itu, pihaknya mewujudkan T-Shoppe, rangkaian kedai 24 jam sebagai usaha memasarkan produk tempatan. Sehingga kini, sebanyak 18 cawangan kedai itu beroperasi di seluruh Terengganu termasuk empat lagi di Kedah, Ampang dan Melaka.