Halaman

26 May 2011

Penerima APC berazam untuk kekal cemerlang

Oleh: Suriati Ali

“Anugerah yang diterima ini, menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang menabur bakti kepada pesakit walaupun kadang kala tidak cukup tidur kerana terpaksa berjaga malam.

“Saya tidak menghiraukan rasa penat dan letih, kerana mengetahui pesakit lebih memerlukan perhatian terutama ketika berada dalam keadaan kecemasan,” kata penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Puan Suhaida Yusnita Mohd Asri dari Hospital Setiu.

Beliau berkata demikian ketika hadir di majlis APC dan Jasamu Dikenang Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JNKT), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Seramai 806 kakitangan termasuk 134 pesara JKNT menerima APC dalam majlis yang dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Hasan Abdul Rahman.

Pegawai Dietetik, Lua Lee Yen yang turut menerima APC, berkata dia akan meningkatkan lagi produktiviti dan kreativiti kerjaya yang diceburi sekarang semata-mata untuk kepentingan masyarakat dan JKNT.

“Terima kasih kepada pimpinan JKNT kerana mempercayai dan menghargai sumbangan selama lapan tahun berkhidmat di bahagian pengurusan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Penerima Anugerah Jasamu Dikenang, Encik Ruslan Mohd, berkata dia cukup terharu untuk meninggalkan kerjaya ini kerana sudah sebati dengan jiwanya.
“Selama 36 tahun berkhidmat sebagai pembantu kesihatan awam pelbagai cabaran dan pengalaman manis di tempuh.

“Saya mengharapkan rakan setugas yang masih berkhidmat supaya terus kekal cemerlang dalam kerjaya masing-masing ” katanya yang akan bersara pada Ogos ini.