Halaman

23 May 2011

Pelbagai aktiviti menarik sempena PPK

Oleh: Suriati Ali

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Perkhemahan Poni Kebangsaan (PPK) 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai yang diadakan selama lima hari, bermula 5 Jun ini.

Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan program yang julung kali dianjurkan itu pada 6 Jun kira-kira jam 3 petang.

Katanya, program anjuran bersama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada ahli kelab tentang cara penjagaan serta memelihara haiwan itu dengan sempurna.

“Memberi peluang kepada peserta menunggang kuda dalam persekitaran semulajadi, menggalakkan peserta berinteraksi dan mewujudkan semangat kerja berkumpulan.

“Selain itu, pendekatan ini mampu melahirkan bakat peserta melalui aktiviti bengkel,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Kerajaan Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 320 peserta termasuk 30 guru dan jurulatih menyertai perkhemahan ini. Mereka mewakili 15 kelab poni dari seluruh negara, termasuk Kelab Poni Imtiaz, Terengganu; Pusat Ekuin (PE) TER; PE Bandar Darul Aman, Kedah; PE Kelab Turf Perak, PE Putrajaya dan PE Triple Bar Sungai Buluh, Selangor.

“Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang tempoh perkhemahan, antaranya kegiatan bersukan, bengkel, program menunggang, praktikal mengenai penjagaan kuda serta pemakanan dan motivasi diri.

“Semua aktiviti yang dirancang ini akan dikendalikan oleh guru dan jurulatih berpengalaman,” katanya.

Kerajaan negeri bangga penganjuran program ini kerana selaras dengan hasrat kerajaan untuk `Merakyatkan Sukan Berkuda’ selain mampu menaikkan imej Terengganu.