Halaman

22 May 2011

Terengganu juara sepak takraw belia kebangsaan

Oleh: Esah Abdullah

Pasukan Sepak Takraw Terengganu muncul Juara kali kedua berturut-turut dalam Kejohanan Sepak Takraw Belia Kebangsaan 2011 yang berakhir semalam.

Selaku tuan rumah kejayaan ini lebih bermakna apabila berjaya mengalahkan pasukan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum) dalam perlawanan akhir di Stadium Negeri.

Pasukan Terengganu yang mendapat bimbingan jurulatih Thailand, Vitayu Bontte membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta medal.

Masum yang muncul naib johan menerima RM2,000 dan Kelantan tempat ketiga membawa pulang RM1,000 beserta medal.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Terengganu , Haji Mohd Shapian Ali berpuas hati dengan kejayaan pasukan negeri yang sekali gus telah mengembalikan era kegemilangan sukan tradisional berkenaan.

Katanya, dengan mengguna khidmat jurulatih dari luar ternyata telah membuahkan hasil dan berharap semua pemain juga harus sama-sama memastikan negeri ini terus unggul dalam arena sepak takraw.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.