Halaman

22 May 2011

Kemaman mampu pertahan semua kerusi DUN, Parlimen

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Umno Bahagian Kemaman yakin Barisan Nasional (BN) mampu menyapu bersih semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen Kemaman pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umno Bahagian, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Menteri Besar, berkata bagi mencapai matlamat itu semua ahli dan pemimpin bahagian itu perlu “Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat” seperti cogankata parti keramat Umno.

“Jika kita semua ikut cogankata Umno, kita akan sapu bersih emat kerusi DUN dan kerusi Parlimen Kemaman,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwaklan Umno Bahagian Kemaman 2011 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Umno Bahagian Kemaman kini mempunyai 106 cawangan dengan keahliannya melebihi 10,000 orang manakala jumlah pengundi ialah 85,361 orang.

Dato’ Ahmad turut meminta usaha menambah ahli Umno dan gerakan mendaftar pemilih baru diperhebatkan bukan saja di bahagian Kemaman, tetapi di seluruh negeri bagi memastikan kemenangan BN di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.