Halaman

22 May 2011

MB jadi ikon murid bakal hadapi UPSR

Oleh : Aida Abd Rahman


Menteri Besar Terengganu memberi semnagat kepada pelajar ketika melancarkan Majlis Idolaku, Impianku, anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman, di Dewan Sri Amar, Chukai, Kemaman.

Program `idolaku, impianku’ mengetengahkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebagai ikon kepada kira-kira 1,000 murid Tahun Enam dari sekolah rendah seluruh Kemaman yang berpotensi mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada tahun ini.

Biografi beserta foto sejak kecil sehingga kini yang berkisarkan kehidupan Dato' Seri Haji Ahmad ditayangkan kepada semua murid berkenaan supaya mendapat gambaran sebenar serta mencetus semangat untuk menurut jejak pemimpin utama negeri itu yang mampu berjaya dalam pelajaran walaupun berlatarbelakangkan kehidupan silam serba kekurangan.

Menteri Besar terharu dan menyanjung tinggi penghormatan yang diberikan dan menganggap usaha itu sebagai satu motivasi berdasarkan kisah kehidupan lalu beliau yang dibesarkan dalam keluarga yang susah.

“Mungkin kerana kesusahan saya sebagai anak orang kampung, namun boleh berjaya dalam pelajaran dan harap itu menjadi motivasi kepada semua pelajar yang datang dari kampung, anak petani, nelayan bahawa mereka juga boleh berjaya. Asas utama adalah pelajaran.

“Kita mesti jejakkan kaki ke universiti dahulu, barulah boleh mencapai cita-cita dan kerjaya yang kita impikan. Berjaya dalam perniagaan pun, bersandarkan kepada tahap pelajaran yang tinggi dan terpulang kepada masing-masing bagi menentukan hala tuju kehidupan selepas mendapat pelajaran yang baik,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Idolaku, Impianku, anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman, di Dewan Sri Amar, Chukai, Kemaman, petang tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Ir Rosli Othman dan Pegawai PPD Kemaman, Haji Mohamad Tawang.

Pada masa yang sama, Menteri Besar berkata persaingan yang semakin hebat dalam dunia pendidikan masa kini dan pertambahan pelajar yang cemerlang menyebabkan semua pelajar perlu mempertingkatkan usaha untuk meraih tempat di sekolah dan universiti yang terbaik.

Beliau berkata, hanya 8,000 kuota kemasukan ke asrama penuh berbanding 48,000 jumlah pelajar yang berjaya mendapat 5A menjadi satu cabaran buat pelajar hari ini untuk menncapai keputusan yang paling baik antara yang terbaik untuk merebut tempat ke asrama penuh berkenaan.

Selain itu, katanya, tiada alasan untuk anak Terengganu yang susah dan miskin namun cemerlang dalam pelajaran gagal melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kerajaan negeri akan membantu dari pelbagai aspek bagi memastikan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.