Halaman

26 May 2011

KKM prihatin terhadap keperluan pesakit

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam merupakan perantara terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat khususnya berkaitan kesihatan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Program Tranformasi Kerajaan (GTP).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Dr Hasan Abdul Rahman, berkata pembudayaan slogan “Kami Sedia Membantu” membuktikan kakitangan KKM prihatin terhadap keperluan dan keinginan pesakit yang memerlukan rawatan dan penjagaan kesihatan.

“Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan, KKM berjaya melaksanakan pelbagai program dan aktiviti semata-mata untuk meningkatkan tahap kesihatan penduduk setanding dengan negara,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Hadir sama di majlis yang diserikan persembahan koir, Pengarah JKNT, Dr Nordiyanah Hassan dan beberapa pegawai perubatan.

Seramai 806 kakitangan termasuk 134 pesara JKNT menerima APC berazam meningkatkan lagi produktiviti dan kreativiti kerjaya semata-mata untuk kepentingan masyarakat dan jabatan.

Dato’ Hassan turut memberitahu, kecemerlangan tidak akan tercapai tanpa integriti dan amalan nilai-nilai murni.

“Kecekapan melaksanakan tugas tanpa penghayatan nilai-nilai murni dan integriti akan mendedahkan perkhidmatan kepada gejala rasuah dan keruntuhan moral. Akhirnya akan diterjemahkan kepada mutu penyampaian yang mementingkan imbuhan, ketidak-adilan dan sebagainya”.

“Penghayatan nilai-nilai murni dapat menjadi benteng dan kawalan terhadap kerakusan hawa nafsu yang memudaratkan seseorang penjawat awam,” katanya.

Katanya, menjadi harapan KKM agar budaya kerja cemerlang dapat terus dipupuk dan dihayati di kalangan pejawat JKNT.

“Saya juga ingin menegaskan, bahawa penerapan budaya korporat KKM antara lain mementingkan semangat kerja berpasukan, penyayang dan profesionalisme perlu dipertingkatkan agar budaya kerja cemerlang menjadi suatu realiti secara berterusan.

“Kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan akan berterusan dan menjadi contoh kepada penjawat awam lain untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik ke arah mewujudkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.