Halaman

26 May 2011

Bersatu mengekalkan jenama ulung kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Penjawat awam hari ini memikul satu jenama yang cukup besar sebagai jentera kerajaan dan bagi mengekalkan brand yang ulung ini semua perlu bersatu dan berkerjasama tanpa mengira jawatan yang dipegang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, konsep bersatu bukan saja diamalkan dalam perkhidmatan awam negeri malah selaras dengan konsep gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

“Tidak ada gunanya kita tinggal sebumbung kalau satu kumpulan bergerak ke hulu dan satu lagi menghala ke hilir,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 di Wisma Darul Iman.

Katanya, dua perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah mengenai best practices yang perlu diteruskan dan yang kedua apa yang perlu kita perbaiki melalui penambahbaikan secara berterusan.

Menurutnya, dalam melaksanakan penambahbaikan, semua perlu melihat kepada sudut ‘life cycle costing’ sebagai satu teknik pendekatan berstruktur yang memberi tumpuan kepada elemen kos secara holistik supaya satu-satu produk atau perkhidmatan dapat digunakan secara optimum melalui perancangan, pelaksanaan dan penyenggaraan yang berkesan.

“Isu membabitkan penggunaan teknologi yang bersesuaian, penambahbaikan aspek keselamatan dan penggunaan tenaga lebih efisien juga perlu diberi perhatian serius,” katanya..

Beliau mengakui, setiap organisasi mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri dan melalui pendekatan ini, kerajaan dapat menjimatkan wang rakyat dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Katanya, apabila berjaya melakukan satu perkara yang baik sudah pasti pujian akan datang sebaliknya apabila sesuatu yang kurang senang berlaku pasti akan menerima kritikan dan tohmahan keras.

“Bagi saya itu adalah satu lumrah kehidupan dan disinilah sebenarnya cabaran kepada pentadbiran negeri untuk menitik-beratkan bekerja sebagai satu pasukan, berusaha untuk mencari mekanisme yang terbaik di meja perbincangan tanpa menuding kesalahan sesama sendiri.,” katanya.