Kerajaan negeri sudah mengenal pasti 32 sekolah rendah di seluruh di negeri ini yang akan memulakan Kelas Maya, tidak lama lagi.
Pada masa ini Syarikat Top IT sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah bagi memasang pelbagai keperluan di bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) bagi membolehkan kelas tersebut dimulakan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi & Sains dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, apabila sekolah tersebut memulakan Kelas Maya, bermakna terdapat 35 kelas seumpama itu di negeri Terengganu.
“Sebelum ini kita memilih tiga buah sekolah rendah sebagai projek perintis Kelas Maya dan didapati ia banyak memberi faedah kepada pelajar, khususnya bagi melahirkan murid yang celik IT,” katanya ketika ditemui semalam.
Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk memperluaskan Kelas Maya ke seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai murid mendapat pendedahan awal di bidang ICT.
Bagi tujuan tersebut, setiap wakil rakyat diminta mengenal pasti sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk mengadakan Kelas Maya.
“Kita harap semua sekolah yang dipilih akan memulakan kelas tersebut selewat-lewatnya pada bulan Julai depan,” ujar beliau.